Video oleh AMIRUL AIMAN ANUAR

Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk S. Rajah berkata, tindakan penguatkuasaan diambil serta-merta selepas pemeriksaan oleh pegawai daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapati premis itu beroperasi dalam keadaan menjijikkan.

Katanya, tiada kompromi dan budi bicara diberikan kepada pemilik premis yang gagal memastikan kawasan dapur meliputi ruang memasak dan tempat simpanan bahan mentah berada dalam keadaan bersih.

“Arahan penutupan selama dua minggu diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana mengabaikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

“Tempoh tersebut diberikan bagi membolehkan pemilik premis menjalankan kerja-kerja pembersihan dan perlu mematuhi semua syarat lesen sebelum dibenar beroperasi semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kegagalan pemilik premis memasang perangkap minyak juga antara kesalahan yang turut dikesan dan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan juga amat mengecewakan.

Beliau yang mengetuai tindakan penguatkuasaan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Kedai Makanan (Op Bersih) Siri 11 itu turut memeriksa penggunaan produk pembungkus biodegradasi dalam kalangan peniaga sekitar. - UTUSAN ONLINE