Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Sri Permaisuri, Taman Sri Bahtera, Cheras dan Taman Permai Jaya, Ampang di sini baru-baru ini mendapati beberapa buah bengkel dan pusat servis kenderaan mulai dipenuhi pe­langgan terutama bagi mereka yang memilih menghantar kenderaan untuk diselenggara di saat-saat akhir.

Berdasarkan pemerhatian, pekerja bengkel dan mekanik tidak menang tangan mengendalikan setiap kenderaan yang dihantar pelanggan.

Pemilik bengkel ACS Garage, Ahmad Adli Osman memberitahu, setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri jumlah kenderaan yang dihantar ke bengkelnya untuk diselenggarakan meningkat sebanyak 20 peratus .

Beliau berkata, sebahagian besar pelanggan mahu me­lakukan pemeriksaan seperti minyak hitam, air, lampu dan sebagainya sebagai persiapan pulang ke kampung.

“Saya membuka bengkel ini sejak tujuh tahun lalu dan kebiasaan setiap musim pera­yaan operasi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam berbanding hari biasa pada pukul 6 petang,” ujarnya.

Seorang mekanik, Mohd. Farid Mohd. Nasir, 33, berkata, setiap kali menjelang perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri dia dan rakan sekerja tidak menang tangan.

“Pulang lewat malam bukan sesuatu yang luar biasa kepada kami. Kami sedaya upaya menyiapkan kenderaan pelanggan tepat pada waktunya dan memastikan mereka pulang dengan selamat ke kampung halaman masing-masing,” katanya.