Memperoleh markah tertinggi sebanyak 87.5 peratus, VICC menewaskan pesaing terdekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu Marching Band di tempat kedua dengan markah 85 peratus, manakala Band of Spirit Shah Alam di tempat ketiga dengan markah 73.8 peratus, VICCB ternyata berada dalam kelasnya tersendiri.

Menepati ramalan, VICCB yang mempunyai kekuatan kira-kira 70 orang ahli terdiri daripada 18 orang precussion, 30 brass, 19 colourguard, tiga konduktor dan seorang drum major itu berjaya mencuri tumpuan juri melalui persembahan mantap yang dipamerkan selama kira-kira 10 minit 30 saat.

Pengarah pancaragam VICCB, Muhaizi Mudzakir berkata, kemenangan itu memberi makna tersendiri kepada dirinya secara peribadi kerana diberi kepercayaan memimpin pasukan yang sebelum ini terkenal dengan pencapaian di peringkat dalam dan luar negeri.

Menurutnya, kemenangan itu hadiah kepada ahli yang selama ini berlatih tanpa mengenal penat lelah sejak awal Januari tahun ini.

“Secara jujur saya amat terharu dan bangga dengan kemenangan ini memandangkan VICCB sudah lama menantikan saat-saat itu.

“Ucapan ribuan terima kasih juga kepada pihak sekolah, guru-guru penasihat, kumpulan sokongan ibu bapa, tidak dilupakan ahli VICCB dan tenaga pengajar.

“Tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak tidak mungkin kemenangan ini mampu diraih,” katanya.

Bagi kategori Drummerz Showdown, juara berpihak kepada Penang Free School, diikuti tempat kedua St. John Institution Naval Cadet Corps , manakala di tempat ketiga Rhythm Syndicate Percussion.

Kategori Colour Guard pula, juara diungguli The Max Color Guard, manakala Naib Juara St. John Institution Naval Cadet Corps.

Sementara itu, Pengerusi penganjur KLIYMBC, Arif Soon berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan untuk meneruskan legasi serta memartabatkan keupayaan kumpulan pancaragam negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Acara ini diadakan sejak empat tahun lalu dan kita akan teruskan untuk jangka masa panjang sebagai usaha mengekalkan dan memperluaskan kumpulan pancaragam tempatan.

“Selain itu, tujuan pertandingan ini bukan sahaja untuk mencari bakat golongan remaja, tetapi untuk membantu pasukan ini untuk mendapatkan dana untuk penambahbaikan kemudahan dan peralatan pancaragam,” katanya.

Arif berkata, sebanyak 15 pasukan menyertai pertandingan ini dan tiga daripadanya adalah pasukan dari luar negara iaitu Indonesia, China dan Singapura.

“Harapan saya agar lebih banyak pasukan pancaragam seluruh negara akan menyertai pertandingan ini bagi mempersembahkan bakat dan kebolehan mereka.

“Dengan adanya pertandingan seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu pasukan serta menaikkan nama negara ke persada dunia,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE.