Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, PPR Desa Rejang dan PPR Semarak di sini mendapati perbuatan vandalisme masih berterusan dan membimbangkan.

Amat menyakitkan mata apabila beberapa kemudahan di perumahan bertingkat kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu dirosakkan dan dicemari de­ngan contengan di sana sini.

Telefon awam yang disediakan turut menjadi sasaran apabila gagang didapati tercabut dan peti duit syiling juga dipe­cahkan.

Berdasarkan pemerhatian, beberapa kemudahan di taman permainan berhampiran turut menjadi mangsa apabila sebahagian peralatan seperti buaian rosak teruk

Keadaan ini sekiranya berlarutan pasti menimbulkan kesulitan kepada penghuni kerana kekurangan kemudahan untuk beriadah.

Keghairahan melakukan vandalisme sebegini menunjukkan bahawa sebilangan penghuni mempunyai minda kelas ketiga.

Walaupun sebahagian besar mereka tidak berniat membuat kerosakan terhadap kemudahan awam tetapi secara tidak langsung, ada tindak-tanduk mereka yang mencerminkan sikap vandalisme. Misalnya, kerana malas turun ke tingkat bawah, ada penghuni melempar bungkusan sampah dari tingkat atas.

Sememangnya penguat­kua­-
saan dan tindakan undang-un­dang adalah antara kaedah terbaik dalam mengajar masyarakat untuk tidak melaku­kan vandalisme.

Namun sejauh manakah kemampuan pihak berkuasa untuk melaksanakan strategi penguatkuasaan 24 jam sehari?