KUALA LUMPUR 20 Jan. - Golongan orang kurang upaya (OKU) di sekitar
Lembah Klang bakal menikmati kemudahan ‘van mobiliti OKU’ yang dijangka
diperkenalkan penghujung bulan Februari ini.
Pengerusi Yayasan Prihatin Insan (YPI), Ishak Ismail memberitahu,
kemudahan pengangkutan yang bertujuan membantu golongan OKU itu akan
beroperasi seperti rangkaian perkhidmatan e-hailing iaitu Grab.
“Golongan OKU di sekitar Lembah Klang hanya perlu menempah perkhidmatan
tersebut melalui aplikasi dalam talian yang akan diumumkan kelak.
“Untuk permulaan, baucer bernilai RM500 akan diberikan kepada 50 orang
OKU bagi tujuan tersebut. Saringan dan pemilihan akan dilaksanakan dengan
kerjasama Unit Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya
di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Skim Pengangkutan OKU
Asnaf Tajaan Agrobank dan pelepasan larian OKU Sahabatku Fun Run 2.0 yang
dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.- UTUSAN ONLINE