Beliau yang memegang jawatan itu mulai November 1992 hingga Julai 1998 berbangga menjadi sebahagian daripada tradisi gemilang kewartawanan Utusan Melayu yang bermula daripada Abdul Rahim Kajai, Aziz Ishak, Said Zahari, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan lain-lain.

“Utusan adalah sebuah lagi universiti saya. Saya banyak dicorakkan oleh budaya dan tradisi kewartawanan, juga komitmen dan profesionalisme karyawannya. Pengasas Utusan Melayu telah meletakkan penanda aras yang tinggi untuk kecemerlangan kewartawanan Utusan. Utusan disegani kerana keberanian dan kejujurannya. Suara Utusan digeruni,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr.Maszlee Malik pada majlis anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2018 Malaysian Press Institute (MPI)-Petronas, di sini, malam tadi.

Johan yang merupakan tokoh ke-12 menerima anugerah tersebut menyifatkan, era sepanjang berada di Utusan sangat mencabar dan mencemaskan.

“Saya tidak mungkin boleh melupakan pengalaman saya di Utusan,” katanya.

Anak kelahiran Sungai Balang, Muar itu menganggap anugerah tersebut satu penghormatan dan menerimanya bagi seluruh wartawan.- UTUSAN ONLINE