Tinjauan Utusan Malaysia di UTC Keramat Mall, Kampung Datuk Keramat di sini mendapati orang ramai mula beratur beberapa jam sebelum waktu operasi bermula untuk mendapatkan giliran.

Sebahagian daripada mereka adalah pengunjung daripada daerah-daerah lain termasuk dari Selangor yang terpaksa memilih UTC berkenaan untuk berurusan pada sebelah petang atau malam.

Keadaan ini disebabkan oleh perubahan masa operasi yang dipendekkan iaitu dari pukul 1 tengah hari hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis; 2.45 petang hingga 10 malam (Jumaat) dan 8 pagi hingga 5 petang (Sabtu dan Ahad).

Suasana itu berbeza berban­ding sebelum ini yang mana ia beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Selain itu, masalah sama turut menyebabkan pendapatan lebih 200 peniaga di pasar raya itu terutama golongan peniaga makanan terjejas teruk kerana kehilangan pelanggan pada waktu pagi dan tengahari.

Peniaga mendakwa pendapatan terjejas lebih 50 peratus sejak perubahan waktu operasi UTC kerana bergantung pada jumlah kehadiran pelanggan di pusat sehenti itu.

Suasana lengang akibat kemerosotan pelanggan dapat di­lihat pada aras bawah bangunan dua tingkat itu yang menempatkan lebih 20 restoran.

Bagi mengelak pembaziran, kebanyakan peniaga kini terpaksa mengurangkan bahan jualan dan ada yang terpaksa menutup premis pada sebelah pagi kerana tiada pelanggan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Keramat Mall, Sudin Mahmud berkata, kerajaan perlu kembali kepada waktu operasi dahulu demi kepentingan orang ramai dan golongan peniaga.

Katanya, perubahan waktu operasi itu bukan sahaja dibantah oleh peniaga dan pengunjung bahkan kakitangan UTC itu sendiri.

“Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan nombor giliran di kaunter manakala kakitangan awam pula bertukar waktu kerja.

“Bayangkan kehadiran pe­ngunjung yang terlalu ramai menyebabkan setiap individu menghabiskan masa berjam-jam untuk menyelesaikan urusan tersebut,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya sudah memanjangkan masalah itu kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan berharap waktu operasi UTC dikembalikan kepada asal.