KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pembukaan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) yang dijanjikan bagi menghidupkan semula Keramat Mall sudah menampakkan hasil apabila rata-rata peniaga mengakui perniagaan mereka semakin berkembang.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati kompleks berkenaan yang dahulunya seolah-olah ‘mati’ kini kembali ceria dan terus dikunjungi pelanggan untuk membeli-belah atau berurusan di UTC yang terletak di aras tiga.
Seorang peniaga Noor Lizah Salman, 51 mengakui, perniagaan kuihnya bertambah maju selepas UTC dibuka di Keramat Mall sejak tiga tahun lepas.
“Saya sudah berniaga di sini selama lima tahun. Setiap bulan pendapatan yang diperolehi hanya kira-kira RM 1,000 namun meningkat kepada RM 4,000 setelah UTC mula beroperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini .
Sementara itu, Mohd. Noh Ahmad, memberitahu, jika sebelum UTC beroperasi pusat perniagaan itu suram dan sunyi.
“Orang ramai kini lebih gemar datang ke Keramat Mall sejak wujudnya UTC. Biasanya mereka datang ke sini kerana mempunyai urusan di UTC yang menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga diharap dapat menyediakan kemudahan seperti petunjuk arah bagi memudahkan pengunjung untuk mencari tempat dituju di sini,” ujarnya.
Bagi Dzulakmarini Mat Sidi pula berkata, dia mengunjungi Keramat Mall setelah ditugaskan di salah sebuah agensi kerajaan berhampiran.
Menurutnya, lokasi tersebut menjadi pilihan kepadanya untuk makan tengahari.
“Harga makanan di sini bukan sahaja sedap tetapi turut menawarkan harga yang berpatutan,” katanya.