MBPJ dalam kenyataannya berkata, program itu bertujuan mengumpul sumbangan juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya.

Katanya, juadah yang dikumpul oleh usahawan bazar Ramadan akan diserahkan untuk agihan melalui Ahli Majlis MBPJ di setiap zon.

“Pada tahun ini, MBPJ menyediakan sebanyak 19 lokasi tapak bazar meliputi 1,489 petak melibatkan 1,191 usahawan mikro (peniaga bazar) yang berlesen di seluruh Petaling Jaya.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan dan kami harap ia dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan,” katanya di sini.

Dalam perkembangan sama, MBPJ turut mengedarkan 1,000 unit mangkuk tingkat dan beg kitar semula kepada pengunjung bazar di sekitar Petaling Jaya sempena Kempen Bebas Plastik.

“Selain itu pihak Majlis juga akan mengedar sebanyak 100,000 unit straw kitar semula kepada usahawan mikro bazar Ramadan.

“MBPJ turut mengadakan Program Hero Ramadan Hijau yang bertujuan menggalakkan pengunjung bazar membeli juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas makanan tanpa beg plastik. - UTUSAN ONLINE