Di wajahnya terpancar rasa puas dan bangga selepas usaha kerasnya selama beberapa bulan bersama tenaga pengajar dan ahli VICCB akhirnya terbalas.

Dilantik sebagai Pengarah Pancaragam VICCB sejak awal tahun ini, beliau mengakui perasaannya bercampur baur _bangga, gembira dan terharu ketika diberi tanggungjawab itu.

“Secara peribadi kemenangan itu cukup ber­erti kepada diri saya dan rakan-rakan lain.

“Saya merupakan bekas pelajar pancaragam di Victoria Institution tahun 2000 yang ketika itu bermain trumpet. Dapat kembali memberi khidmat bakti secara sukarela kepada pasukan ini sa­ngat besar ertinya,” katanya yang dibantu empat pengajar juga bekas ahli pasukan itu.

Selain Fikrizaki yang menjadi tenaga pengajar brass, turut memainkan peranan penting ialah Nazmi Naim (Drill Designer), Hezrul Hisham (colourguard) dan Zakaria Patrum(precussion).

Menurutnya, walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing kerana minat mereka sanggup meluangkan masa siang malam bagi memastikan kemenangan VICCB.

“Walaupun serba kekurangan, terutama dari segi peralatan instrumen yang agak uzur ia tidak melunturkan semangat setiap ahli untuk berlatih.

“VICCB cukup bertuah kerana sepanjang latihan intensif selama dua bulan dijalankan sokongan luar biasa diterima daripada guru-guru penasihat dan kumpulan sokongan ibu bapa,” katanya yang bertugas sebagai Se­nior Software Engineer di sebuah syarikat swasta di ibu negara itu.

Sementara itu, Drum major, Syam Hakimie Mohd. Noor Hisham, 17, pula mengganggap kemenangan VICCB dalam pertandingan itu akan menjadi kenangan manis dan paling berharga kepadanya.

Menurutnya, ini kerana tahun 2017 merupakan tahun terak-hirnya bersama pasukan itu.

“Syukur atas kemenangan ini dan terima kasih kepada tenaga pengajar, guru-guru penasihat, ahli VICCB dan ibu bapa saya yang selama ini memberi sokongan,.

“Selepas ini saya akan memeberi tumpuan kepada pelajaran kerana bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi,” katanya yang turut berperanan penting sebagai pemain bagpipe dan colourguard pada pertandingan itu.

VICCB yang mempunyai kekuatan kira-kira 70 orang ahli terdiri daripada 18 orang precussion, 30 brass, 19 colourguard, tiga konduktor dan seorang drum major itu berjaya mencuri tumpuan juri melalui persembahan mantap yang dipamerkan selama kira-kira 10 minit 30 saat.

Memperoleh markah seba­nyak 87.5 peratus, VICCB menewaskan pesaing terdekat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu Marching Band di tempat kedua dengan markah 85 peratus, manakala Band of Spirit Shah Alam di tempat ketiga de­ngan markah 73.8 peratus, VICCB ternyata berada dalam kelasnya tersendiri.