Mohd. Shahid Mispari, 48, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala manakala anak saudaranya, Mohd Khairul Amrie, 31, membolot RM2,000 selaku naib juara menewaskan 849 peserta lain.

Dia menjadi juara selepas menaikkan seekor ikan baung ekor merah seberat 10.865 ki-logram (kg) manakala Mohd. Khairul turut menaikkan ikan spesies yang sama seberat 6.53 kg.

“Kejayaan itu sangat bermakna dan pembakar semangat untuk saya lebih kerap menyertai pertandingan memancing. Tiada apa-apa rahsia yang saya gunakan melainkan menggunakan umpan cacing sahaja,”katanya.

Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd. Riduwan Bilal, 28, yang membawa pulang RM1,000 selepas menaikkan ikan jenis yang sama seberat 5.91 kg. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain.

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, acara tahun ini sangat meriah dan berharap akan dijadikan sebagai acara tahunan.

Menurutnya, selain peserta dari Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, pertandingan turut menarik minat peserta dari Jepun.

“Dianggarkan seramai 10,000 pengunjung hadir memeriahkan pelbagai acara yang diadakan bersempena program Hari Bebas Kenderaan PJ 2019.

“Selain PJ Joran, turut diadakan Purple Walk-Walk For Health, PJ Smart Ride, senamrobik dan pertandingan sukan tradisional,” katanya.