IDRIS SHAARI MAT ARIS
IDRIS SHAARI MAT ARIS

Kebiasaannya, pengurusan masjid tersebut akan menerima tempahan daripada individu mahupun syarikat korporat yang mahu memberi sumbangan sempena Ramadan yang sebahagiannya digunakan untuk membiayai pemberian bubur lambuk percuma kepada penduduk di sekitar Kampung Baru.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris berkata, bermula hari ini hingga 26 Ramadan ini, pihaknya akan memasak sebanyak 15 periuk bubur lambuk bersamaan 3,000 bungkus sehari untuk diedarkan kepada orang ramai.

Katanya, pemberian bubur lambuk secara percuma itu dilakukan di pekarangan masjid selepas waktu Asar dan kebiasaannya akan habis dalam masa setengah jam.

“Orang ramai memang sangat menantikan bubur lambuk yang disediakan pengurusan masjid ini kerana ia seperti tradisi sejak lebih 50 tahun lalu. Bahkan, ada syarikat korporat mahupun individu dari pelbagai negeri yang mahu pengurusan masjid datang ke tempat mereka untuk memasak bubur lambuk bagi memberi sumbangan kepada penduduk setempat.

“Sebanyak 5,850 kilogram beras digunakan bagi memasak bubur lambuk untuk sehari dengan kos melebihi RM100,000 setahun untuk memastikan hidangan tersebut dapat disediakan buat orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini hari ini.

Menurut Idris Shaari, pihaknya pernah mencipta rekod tersendiri apabila memasak 100 periuk bubur lambuk yang ditempah oleh tokoh korporat beberapa tahun lalu untuk diedarkan kepada orang ramai.

Katanya, pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru mempunyai pasukan khas untuk memasak dan menyediakan hidangan bubur lambuk tersebut yang terdiri daripada 20 pekerja.

“Tahun ini, kita amat terbuka untuk menerima sebarang tempahan daripada orang ramai yang ingin melakukan sumbangan sempena Ramadan yang mulia ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE