Perkongsian itu dilakukan terutamanya di kawasan projek metropolis bertaraf dunia, Malaysia Vision Valley (MVV) dalam Bengkel Bersama Pembekal Untiliti dalam satu seminar anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pusat Pelaburan Negeri Sembilan (NSIC).

Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed berkata, TNB bersama membantu kerajaan negeri menarik minat para pelabur sektor komersil dan industri dalam program yang menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk terkini dalam kepelbagaian perniagaan baharu.

“Antaranya seperti Capacitor Bank untuk meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui melalui solar panel Net Energy Metering (NEM) dan khidmat nasihat Kualiti Kuasa berkaitan produknya serta insentif yang boleh dinikmati para pengguna industri.

"Penerangan berkenaan tarif, masa penggunaan berkesan (ETOU) dan mekanisme pelepasan kos bahan api dan penjanaan (ICPT) juga dibentangkan kepada para pelabur terutamanya pelabur industri untuk mereka memahami konsep pengiraan kegunaan elektrik,” katanya lagi.

Tambahnya, TNB sebagai organisasi korporat dan pembekal elektrik terulung di Malaysia amat komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna serta menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memacu MVV ini. -UTUSAN ONLINE