Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muez Abd. Aziz memaklumkan, pihaknya memberi perhatian yang serius dan dan sentiasa mengambil langkah tegas bagi memastikan harga barangan di dalam negara ini adalah berpatutan demi kesejahteraan pengguna.

Menurut beliau, pameran terbesar itu bermula esok hingga Sabtu ini di Langkawi dan keadaan berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan jumlah kehadiran pelancong dari luar negara dan tempatan.

“Kementerian berperanan dalam memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan dan makanan secara tidak terkawal, Justeru kami akan menguatkuasakan akta-akta di bawah kementerian semasa berlangsungnya LIMA 2019.

“Pihak kementerian melalui cawangan negeri Kedah akan melaksanakan operasi dan pemantauan ke atas setiap premis perniagaan di Langkawi untuk menangani kenaikan harga tidak berpatutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, operasi berterusan akan dijalankan melalui aktiviti pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua lokasi perniagaan sekitar Langkawi dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan undang-undang.

“Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, penandaan harga bagi barangan jualan di bawah Perintah Kawalan Harga Penandaan Harga Penjual Runcit 1993 dan petunjuk atau gambaran yang mengelirukan harga di bawah Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 serta Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Sehubungan itu, Muez meminta orang ramai untuk menyalurkan segala aduan dan pertanyaan berhubung laporan kenaikan kepada pihaknya dengan segera menerusi platform aduan disediakan oleh kementerian .

Antara platform tersebut adalah portal https://e-aduan.kpdnhep.gov.my, e-mel [email protected] atau menghubungi talian 1800886800.

“Selain itu, orang ramai juga boleh berbuat demikian menerusi aplikasi telefon pintar iaitu EzADU KPDNHEP dan menggunakan aplikasi Whatsapp menerusi nombor telefon 019-2794317 dengan disertakan keterangan aduan yang jelas, butiran lengkap berkaitan dengan alamat tempat aduan, butiran barangan dan harga serta resit pembelian,” katanya. - UTUSAN ONLINE