Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai ancaman ketika melaksanakan tanggungjawab pe­nguatkuasan, setiap anggota per­lu sedar bahawa mereka senti­asa dilindungi undang-undang.

Justeru katanya, anggota pe­nguatkuasaan tidak perlu gentar atau berasa terancam dalam melaksanakan kebenaran kerana pihak­nya bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan anggota.

“Ancaman dan ugutan memang sudah menjadi asam garam dalam kehidupan anggota penguatkuasaan kerana tugas mereka berdepan dengan pelbagai kelompok masyarakat apatah lagi apabila melibatkan kegiatan membasmi kegiatan haram.

“Setiap tahun pasti ada beberapa kes yang melibatkan tindakan mengasari dan ugutan yang diterima oleh anggota penguatkuasa. Tapi kita akan pastikan pihak yang memberi ancaman tidak akan terlepas daripada tindakan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas me­ngenai isu kejadian rumah ketua penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang disimbah de­ngan cat merah pada Jumaat lalu, dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan mengetuai operasi menutup restoran milik warga asing di kawasan bandar tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd. Sayuthi Bakar berkata, bagi mengurangkan ancaman keselamatan, anggota pe­nguatkuasaan perlu bersikap profesional dan berhemah dalam tugas yang dilakukan.

Beliau berkata, salah satu kemahiran dalam pasukan penguatkuasaan adalah kebolehan mengawal situasi dan mententeramkan ke­adaan daripada menjadi lebih teruk.

“Risiko ada di mana-mana dan kadang-kala tidak dapat dielakkan, jadi setiap anggota perlu lebih bersedia.

“Jika berlaku pertelingkahan yang boleh mengancam nyawa anggota, kita akan menyerahkan tindakan sepenuhnya kepada pihak polis,’’ katanya.