Namun, bagi yang mahukan kelainan dan mencuba menu asam pedas ‘luar biasa’ yang tidak terdapat di mana-mana tempat lain di negeri ini, anda boleh berkunjung ke The Street Kitchen, Bangunan Merah, Banda Hilir, Melaka.

Sebuah kafe unik berkonsepkan vintage yang terletak di Bangunan Merah, bersebelahan ikon pelancongan negeri iaitu Sungai Melaka dengan pemandangan yang cukup menarik serta mempersonakan tidak kira pada waktu siang mahupun malam.

Pemilik bersama kafe ini, Muhammad Danial Azilan, 26, dan Khairul Rijal Sodirman, 24, memberitahu, mereka mencipta resepi ‘luar biasa’ itu demi mencari kelainan dan dalam masa sama mengekalkan identiti makanan terkenal tersebut dengan mengubah bahan utama kepada bahan lain iaitu ikan salmon.

Maka terhasillah menu Asam Pedas Ikan Salmon yang kedengaran agak janggal namun resepi itu amat sesuai pada masa kini memandangkan selera kebanyakan masyarakat di Malaysia sudah berubah malah terbiasa dengan hidangan barat.

“Menu ini kita perkenalkan kira-kira setahun lalu setelah mengubah konsep kafe daripada makanan barat kepada fusion Asian namun tak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan dan ramai yang sukakannya kerana ia masih mengekalkan rasa asli asam pedas Melaka.

“Ini memberi kelainan berbanding asam pedas biasa yang menggunakan bahan utama seperti ikan kembung, tenggiri, pari, jenahak, telur ikan, daging tetel dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas Danial, idea mereka mengubah konsep kafe tersebut atas dasar persaingan daripada kafe-kafe lain di kawasan berkenaan ternyata memberi rezeki kepada mereka kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan pelancong luar negara.

Katanya, menu tersebut pada asalnya adalah percubaan mereka untuk mencari kelainan namun disebabkan respon positif daripada pengunjung membuatkan mereka teruja mencipta lebih banyak resepi lain dengan gabungan konsep barat dan citarasa tempatan.

“Perkara ini (mencipta resepi) bukanlah mudah kerana kami tidak mempunyai asas dalam bidang masakan atau kulinari lebih-lebih lagi untuk memikirkan menu yang mempunyai kelainan namun menepati selera pengunjung berbilang bangsa dan peringkat umur.

“Bagaimanapun hasil bantuan rakan-rakan yang berpengalaman selain ahli keluarga banyak membantu menjayakan kafe ini dari awal sehingga mula dikenali pada masa sekarang,” tambahnya.

Sementara itu tambah Danial, selain Asam Pedas Ikan Salmon, beberapa lagi menu yang menjadi pilihan para pengunjung di kafe itu termasuklah Ikan Bawal Sambal Melaka (RM18.90), Pasta Thai Style (RM13.90 dan Rockin’ Wings (RM13.90), Spicy Sambal Udang Petai (RM16.90) serta beberapa pilihan minuman menarik seperti Mocktail Melaka Sunset (RM7.90) dan Virgin Berries.

Kafe yang terletak di tengah-tengah bandar ini boleh dikunjungi setiap hari dari pukul 5 petang hingga 1 pagi (Ahad hingga Khamis) dan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi pada Jumaat serta Sabtu. - UTUSAN ONLINE

Info

The Street Kitchen

Lokasi: No. 47, Jalan Laksamana, Bangunan Merah, 75000, Melaka

Waktu operasi: Ahad hingga Khamis (5 petang hingga 1 pagi)

Jumaat dan Sabtu (5 petang - 2 pagi)

Laman sosial: www.facebook.com/thestreetkitchenmlk

Nombor telefon: 017-2300485