Situasi itu bukan sahaja menyakitkan mata yang memandang malah, turut menjadi punca kepada masalah kekurangan parkir di kawasan-kawasan berkenaan sehingga menyebabkan pengguna lain naik marah.

Kereta seperti model Datsun, Volvo, Proton Iswara, Perodua Kancil dan pelbagai jenis lagi itu jelas telah berada di lokasi ber-kenaan sejak sekian lama dan keadaan kereta yang ‘nazak’ jelas membuktikan perkara itu.

Hasil pemerhatian Utusan Malaysia juga mendapati kea-daan kebanyakan kereta yang ditinggalkan ialah keempat-empat tayarnya pancit, ditimbuni dedaun selain cat lusuh dan terkopak di bahagian bumbung.

Difahamkan, kebanyakan kereta terbiar itu disebabkan oleh pemiliknya memiliki lebih daripada dua kenderaan selain kereta berkenaan mengalami kerosakan dan memerlukan modal yang banyak untuk dibaiki.

Namun, itu bukannya alasan untuk membiarkan kereta tersadai di tapak parkir sehingga menyusahkan pengguna lain.

Jika dilihat kawasan parkir di kuarters Putrajaya, ia sememang­nya azab dan memeningkan.

Manakan tidak, kerana ada sehingga kereta diparkir bersimpang siur di bahu jalan utama sekali gus menghalang lalu lintas, dan jika kereta terbiar dialihkan sekurang-kurangnya dapatlah mengatasi masalah parkir.

Masalah kereta terbiar ini juga nampaknya tiada penghujung kerana difahamkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sentiasa membuat pemantauan daripada masa ke semasa selain turut menunda kereta ke de­poh simpanan.

Yang menghairankan walaupun operasi tunda dilakukan oleh PPj, kereta terbiar di kawasan parkir di kuarters penjawat awam dan parkir awam ini sentiasa ada dan perkara itu diakui sendiri oleh pihak perbadanan.

Utusan Malaysia juga turut dibawa melihat depoh simpanan kereta terbiar di Presint 20 dan mendapati lebih 50 kereta buruk berada di situ dan jumlah itu sebenarnya telah berkurangan selepas dituntut selain proses pelupusan.

Dan apa yang mengejutkan ialah ada juga kereta jenis Audi, BMW dan Mitsubishi yang tidak dituntut sejak sekian lama dan tidak dapat dipastikan sama ada kereta itu rosak atau pemilik mempunyai tunggakan bank.