Timbalan Pengurus Besar SMART, Mohd. Noor Ali berkata, tindakan itu dibuat selepas mengambil kira soal penambahbaikan sistem yang dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu selepas RFID diperkenalkan.

Katanya, pada masa kini, syarikat-syarikat konsesi sedang bekerjasama dengan Touch ‘n Go (TNG) untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna yang telah berdaftar dalam projek perintis itu.

"Sepanjang tempoh percubaan itu, kami mendapati beberapa penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia betul-betul dapat digunakan secara rasmi antaranya tahap pengesanan terhadap kod bar daripada pelekat kereta serta kesinambungannya terhadap aplikasi 'e-wallet'.

"Berbanding dengan kad fizikal yang menolak baki secara terus, RFID perlu digunakan bersama-sama dengan aplikasi namun kami mendapati masih ada 'masalah', jadi penambahbaikan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Media anjuran Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan SMART di Kuala Lumpur Golf And Country Club, Bukit Kiara di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Saidi; Ketua Pegawai Operasi Kesas, Mohd. Shah Samin dan Ketua Pegawai Operasi SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman.

Mohd. Noor berkata pada masa sekarang, tempoh percubaan bagi projek perintis RFID bergantung kepada laporan dan maklum balas daripada syarikat-syarikat konsesi tol dan orang ramai.

"Setakat ini, pihak konsesi ada menerima beberapa maklum balas berkenaan sistem RFID seperti palang tidak dibuka, ‘pengesanan yang lembap’ dan terlebih caj. Sekiranya sistem dapat ditambah baik, maka penggunaan secara rasmi akan diumumkan oleh kerajaan kelak," katanya.

RFID menjadi kaedah baharu pembayaran tol secara elektronik apabila menggunakan pelekat atau tag RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan.

Secara keseluruhan, terdapat 167 lorong TNG RFID yang beroperasi di 23 lebuh raya melibatkan 58 plaza tol antaranya SMART, Kesas, Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Damansara–Puchong, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya.-UTUSAN ONLINE