Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, pasukan itu akan dianggotai oleh beberapa agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, penubuhan task force yang diketuai oleh pihak berkuasa tempatan itu telah dimaklumkan kepada Kabinet dan dibincang bersama Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

“DBKL memerlukan sokongan daripada agensi lain yang mempunyai kuasa tertentu untuk membantu kami kerana bidang kuasa DBKL adalah terhad iaitu hanya boleh menyita barang dan menggantung lesen tetapi tidak boleh menangkap orang.

“Isu warga asing yang menjalankan perniagaan di bawah lesen warga tempatan semakin berleluasa kerana mereka sanggup dibayar gaji sedikit berbanding dengan pekerja tempatan yang mahukan gaji lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-49 di sini hari ini.

Sebanyak 42 pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan DBKL dianugerahkan pingat sempena sambutan tersebut.

Anugerah yang merangkumi Tokoh Penguatkuasa, Pingat Khidmat Terpilih Kelas I, II dan III serta Pingat Khidmat Bakti Kelas I dan II itu adalah sebagai pengiktirafan prestasi kerja cemerlang pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan berkenaan. - UTUSAN ONLINE