Muhammad Aznur Syah Azman

Peristiwa itu turut mendapat perhatian Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aznur Syah Azman. Berikut kenyataan penuh beliau :

Sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga salah seorang ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), saya berasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian yang menimpa tujuh orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita harus menerima kenyataan semakin ramai golongan muda berminat untuk memberi pandangan atau mempertikaikan sesuatu perkara yang dilakukan oleh pemimpin negara tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.Selain itu, pendedahan terhadap media sosial, kebenaran untuk berpolitik dalam universiti dan kebebasan media juga mendorong mahasiswa cenderung melibatkan diri dalam politik pada usia muda.

Oleh itu saya ingin meminta pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk lebih bijak menangani kritikan daripada golongan mahasiswa dalam usaha memperbaiki kelemahan yang wujud dalam pentadbiran negara. Janganlah melupakan fakta bahawa golongan muda yang mempertikaikan isu atau sesuatu perkara berkaitan rakyat dan negara bakal pemimpin masa depan.

Justeru apabila seseorang berada dalam gelanggang politik, mereka perlu bijak mengurus emosi apabila berhadapan dengan kritikan golongan mahasiswa dan sebagai seorang individu beragama Islam, apabila bergelar pemimpin mereka harus memelihara imej Islam tanpa terlibat dengan sebarang tindakan keganasan mahupun kekerasan. Ia bagi mengelakkan masyarakat memandang serong terhadap Islam secara keseluruhannya.

Mereka perlu memahami di institusi pengajian tinggi, mahasiswa terdedah dengan ilmu pengetahuan berkaitan perundangan, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya. Oleh itu kami berhak menyampaikan pendapat kerana ia merupakan salah satu proses pembelajaran bagi membolehkan kami memilih pemimpin yang betul pada masa akan datang.

Pada masa sama, sebagai mahasiswa, kita tidak seharusnya mengikut emosi, sebaliknya perlu lebih bijak memilih perkara yang mahu diperjuangkan, jika sesuatu perkara itu belum tidak pasti atau masih dalam perbicaraan di mahkamah, sebaik-baiknya kita menunggu sehingga keputusan dibuat. Kita harus menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

Bagaimanapun saya menyeru golongan belia dan mahasiswa untuk tidak takut bersuara dalam menentang perkara yang anda rasa salah dan sentiasa mempertahankan hak-hak belia di negara ini. Kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan harus difahami dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Marilah terus berjuang menggunakan platform yang betul untuk memastikan negara yang kita idamkan pada masa akan datang aman, damai serta bebas daripada unsur keganasan dan kekerasan.

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia.