Penduduk mendakwa, kewujudan puluhan kenderaan yang dibiarkan tersadai di kawasan yang jaraknya hanya beberapa meter dari perumahan itu benar-benar membimbangkan dan boleh mengancam nyawa penduduk sekiranya tidak diatasi segera.

Keadaan itu jika dibiar berterusan boleh mengundang pembiakan jentik-jentik dan nya­muk aedes terutama apabila wujud takungan air di dalam kende­raan terbabit.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati dakwaan penduduk berasas apabila tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dipenuhi deretan kenderaan rosak pelbagai jenis.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan kereta tersadai itu ada yang telah diliputi lalang dan semak-samun yang mencacatkan pemandangan.

Kewujudan beberapa buah bengkel kereta yang beroperasi di kawasan itu turut kurang disenangi kerana didakwa me­nyumbang kepada pencemaran dan masalah lain.

Utusan Malaysia difahamkan, sebelum ini DBKL pernah mengeluarkan surat makluman bahawa tapak berkenaan akan dijadikan sebagai tempat parkir sementara bagi mengatasi masalah kekurangan tempat kereta di perumahan itu.

Bagaimanapun sehingga­ ke hari ini status mengenai projek tersebut masih men­jadi tanda tanya.

Se­orang penduduk yang mahu di­kenali sebagai Ahmad, 56, berkata, sikap tidak peduli DBKL terhadap masalah itu amat dikesali kerana aduan berkaitan telah dikemukakan sebelum ini.

“Penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis di kawasan perumahan dan dibahu-bahu jalan utama.

“Tentu sekali mendedahkan mereka kepada bahaya jenayah dan risiko disaman,” katanya.