Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menolak tuduhan bahawa Kerajaan Pusat mengutamakan kroni dalam pelaksanaan projek berkenaan yang akan menjadi hab pemindahan kapal ke kapal terbesar di dunia.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, pembinaan projek STS itu akan menguntungkan Malaysia.

‘‘Ini satu projek yang akan menguntungkan Malaysia. Saya tak fikir ada orang yang nak rugikan Malaysia dengan memihak kepada orang lain.

‘‘Semua orang di Malaysia ini kroni saya kerana saya bekerja untuk semua orang termasuk orang Johor,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandata­ngani pembinaan hab pemindahan STS itu di sini hari ini.

Pembinaan STS itu membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan KA Petra Sdn. Bhd., dengan syarikat perkapalan terbesar dunia berpangkalan di Hong Kong, Hutchinson Port Holdings Limited.

Ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri Johor berhubung projek berkenaan, Dr. Mahathir berkata: ‘‘Saya ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan menolak pelaksanaan projek ini. Setakat ini mereka tidak tolak.’’

Berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa tidak tahu tentang projek itu, Dr. Mahathir berkata, beliau hairan kenapa Tunku Mahkota Johor tidak tahu sedangkan projek berkenaan telah dibincangkan sejak tahun lalu.

‘‘Dia ada dalam Johor, ba­nyak orang Johor tahu, dia tak tahu saya hairan. Dia tahu banyak perkara tetapi yang ini tak tahu,’’ katanya.

Dr. Mahathir turut mengulas bantahan Singapura berhubung projek tersebut dengan menegaskan, Malaysia berhak melaksanakan projek terbabit kerana ia dibina dalam perairan negara.

‘‘Singapura tahu berkenaan projek ini. Projek ini dilaksanakan dalam perairan Malaysia bukan di perairan Singapura,’’ tegas beliau.