Selepas kira-kira setahun setengah ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian secara besar-besaran, ia dibuka semula pada Disember lalu dengan menampilkan tarikan yang lebih hebat.

Bagi yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pusat peranginan di ta­nah tinggi itu, kunjungan sete­rusnya pasti akan menjadi pengalaman berharga yang penuh dengan keterujaan.

Kemeriahan Skytropolis Funland yang terletak di First World Plaza itu kini bukan sahaja di­simbahi sinaran lampu neon berwarna-warni bahkan menampilkan dekorasi dan permainan indoor serba baharu.

Sebagai permulaan, taman tema yang berkeluasan 121,920 meter persegi itu kini menawarkan 13 jenis permainan manakala sembilan lagi dijangka bero­perasi dalam masa terdekat.

Tarikan permainan itu termasuk Power Surge, Sky Tower, Spin Crazy, Bumper Boss, Disco, Boo Bum, Tea Cups dan Balloon Race.

Keasyikan meneroka taman tema ini juga diceriakan dengan paparan skrin LED mega pada dinding dan siling sepanjang kira-kira 50 meter yang memaparkan pelbagai tema animasi.

Taman tema bertaraf antarabangsa itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu untuk kanak-kanak, keluarga dan ekstrem, bagi yang gemarkan cabaran.

Skytropolis Funland turut dilengkapi permainan-permainan realiti maya bertaraf antarabangsa seperti di The Void, Imaginatrix dan Big Top Games Park.

Dalam tema sarkas pula, RWG turut memperkenalkan Highlands Hero yang baharu iaitu watak Joe (orang hutan), Tabby (harimau), Allie (gajah), Geno (dinasour), Bennie (beruang matahari) dan Callie (naga).

Watak-watak berkenaan juga merupakan wajah rasmi taman tema yang terlibat dalam kumpulan penyambut kehadiran pengunjung di pintu masuk utama yang pasti memberi seribu keriangan terutama kepada kanak-kanak.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bahagian Taman Tema RWG, Brian Machamer berkata, pihaknya melabur lebih daripada RM300 juta bagi mengubah suai taman tema berkenaan dengan pelbagai konsep.

Katanya, pengubahsuaian itu bertujuan menambah keseronokan pengunjung untuk merasai pengembaraan dalam pelbagai tema fantasi yang mengagumkan.

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan pengalaman terbaik kepada para pengunjung sepanjang mereka di sini.

“Dengan pembukaan semula Skytropolis Funland, kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dengan sasaran lebih 7,000 orang setiap hari,” katanya.

Skytropolis Funland dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Tiket bagi setiap alat permainan boleh didapati di kaun­ter pembelian yang disediakan atau ke kios mesin layan diri pada harga RM10 bagi hari Isnin hingga Jumaat manakala RM15 pada Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti persekolahan.

Bagi mereka yang mahukan kepuasan dan pengalaman tanpa had, pas previu Skytropolis boleh dibeli pada harga RM60 manakala pembelian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web www.rwgenting.com.