IWK dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kerja-kerja pembersihan minyak berkenaan siap pada pukul 5 petang semalam dan loji berkenaan kembali beroperasi seperti biasa.

Katanya, kerja-kerja pelepasan efluen juga dibuat mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Sebelum kemasukan minyak hitam tersebut, pasukan penyenggara loji memaklumkan tiada kesan buangan minyak pada hari sebelumnya dan loji berkenaan beroperasi seperti biasa mengikut piawaian,” katanya.

Ketua Operasi IWK Wilayah Selatan, Ir. Mohd. Taufik Salleh pula berkata, pasukannya menerima maklumat daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada awal pagi semalam dan bergegas ke loji berkenaan untuk memeriksa loji dan kualiti efluen yang dilepaskan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat minyak pekat berwarna hitam yang memasuki loji berkenaan pada pukul 7 pagi semalam dan kami terus menghentikan pelepasan efluen buat sementara waktu untuk operasi pembersihan segera.

“Bagi mengelak sebarang gangguan kepada kualiti efluen, pengasingan segera dibuat untuk mengawal pelepasan efluen terakhirnya ke Sungai Liam,” katanya.

Jelasnya, kesan buangan minyak yang masuk secara terlarang ke loji berkenaan memerlukan rawatan tambahan yang membabitkan kerja-kerja penyedutan lapisan minyak yang tebal di kebuk masuk serta penggunaan bahan pengoksidaan untuk mengaktifkan proses biologi bagi mengurangkan kadar bau di efluen terawat.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam mendapati minyak hitam terbabit dipercayai dibuang dari kawasan perindustrian di sekitar loji IWK. - UTUSAN ONLINE