Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, penilaian semula projek-projek mega telah membawa kepada persaingan yang lebih sengit tetapi ia juga telah mengubah peneraju pembinaan untuk menjadi lebih efisien dalam penyampaian projek.

“Inilah fakta sekarang, beberapa projek sedang dipertimbangkan untuk menentukan jika mereka akan diteruskan (atau tidak).

“Terdapat juga kesan persaingan sengit dan kita perlu berhadapan dengan realiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa CIDB (ICW) 2019 dan pameran perdagangan ASEAN Super 8 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Walaupun dalam persekitaran yang agak suram, CIDB berpendapat, sektor pembinaan akan terus berkembang pada 2019.

“Ya, jumlah projek adalah lebih rendah tetapi sektor ini masih mencatatkan pertumbuhan. Bukan langsung tidak ada kerja cuma ia tidak banyak seperti sebelum ini tetapi cabaran ini hanya bersifat sementara,” katanya.

Menurut laporan oleh penganalisis, sektor pembinaan dijangka agak berhati-hati pada tahun ini, selepas menurun lebih daripada 50 peratus pada 2018, dengan pemulihan perlahan dalam sentimen keseluruhan.

Ini disebabkan kerajaan sedang membuat keputusan sama ada untuk meneruskan projek mega tertentu dan akibatnya, ia mungkin akan menjejaskan perolehan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, yang merasmikan ICW 2019 dan ASEAN Super 8, berkata kerajaan akan berusaha bagi memacu pertumbuhan dalam industri pembinaan pada masa hadapan.

“Walaupun kita mungkin menghadapi beberapa kekangan, kita telah memutuskan untuk merangsang ekonomi, terutama dalam infrastruktur (pembangunan).

“Malah, pelaburan langsung asing (FDI) telah meningkat dan melepasi angka tahun lepas, ini mencerminkan keyakinan pelabur-pelabur asing dalam pasaran tempatan,” katanya pada sidang media yang sama.

Pada 2018, Malaysia mencatatkan pertambahan kelulusan FDI sebanyak 48 peratus dalam semua sektor dengan nilai RM80.5 bilion.

Kedua-dua pameran, yang berakhir pada 21 Mac, dijangka menarik 20,000 pengunjung dan menjana RM500 juta jualan. - BERNAMA