Demikian pengalaman ber­­makna dirasai 45 pelajar Semester 4, Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam menerusi program menyantuni gelandangan di ibu kota.

Aktiviti sosial di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang, di sini bukan sekadar memenuhi keperluan penilaian kerja kursus yang ditetapkan dalam kokurikulum pengajian mereka, malah lebih bernilai jika diukur dari sudut kemanusiaan.

Pengarah program, Muhammad Najmi Omar, 20, berkata, peluang itu diambil bagi merasai sendiri pengalaman membantu, membimbing dan mengenal pasti permasalahan sebenar selain merasai denyut nadi kesusahan dihadapi golongan berkenaan.

“Ia bukan sekadar memenuhi keperluan subjek kami malah bertujuan menghidupkan nilai-nilai murni, menanam rasa bertanggungjawab dan memupuk semangat sukarelawan dalam membantu golongan tidak bernasib baik.

“Saya berpuas hati dengan program yang julung kali diadakan ini kerana mendapat kerjasama dan sambutan yang baik daripada pengurusan di sini termasuk gelandangan.

“Saya lihat pelbagai aktiviti yang kami adakan ini sedikit sebanyak menghiburkan jiwa gelandangan, merapatkan hubu­ngan sekali gus mengurangkan rasa derita yang dialami,” katanya kepada Utusan Malaysia.