Pengalaman unik menikmati sajian terapung ‘BBQ Lamb KL Kemensah’ itu turut jadi tumpuan pelancong kerana loka­sinya yang terletak hanya 2.6 kilometer dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum menyusuri Jalan Taman Zooview yang po­pular sebagai lokasi perkelahan di sini.

Pemiliknya, Zainuddin Yatim berkata, idea menggabungkan perniagaan dengan konsep alam semula jadi tercetus selepas mengagumi idea makan ala berkelah yang diketengahkan oleh pengusaha restoran di Gerik, Perak yang tular dalam sosial media tahun lalu.

Menurutnya, berbekalkan minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan makanan dan memiliki lot tanah di Kampung Kemensah, Ampang, yang terletak di tepi sungai, beliau yakin boleh ‘menjual’ konsep yang sama.

“Elemen alam semulajadi yang digabungkan dengan ketenangan aliran sungai terbukti membangkitkan selera pengunjung.

“Hasrat kami adalah untuk menyajikan hidangan panggang ala Barat yang enak dalam suasana kampung yang mendamaikan.

“Rata-rata pelanggan yang datang sangat teruja selain tidak melepaskan peluang untuk merakam swafoto sepanjang berasa di meja makan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

BBQ Lamb KL menyajikan beberapa pilihan daging yang dihidang terus dari dapur untuk memberi kepuasan maksimum kepada pe­langgan.

Restoran yang mampu memuatkan kira-kira 120 pelanggan pada satu-satu masa itu dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam.

Setiap set ditawarkan pada harga bermula dari harga RM30 hingga RM150.

Bagaimanapun, ruang makan di permukaan sungai hanya dibuka sehingga pukul 6 petang sahaja.

Zainuddin berkata, ekoran sambutan yang tinggi daripada orang ramai terutama pada hujung minggu, beliau mengga­lakkan pelanggan membuat tempahan awal di talian 012-2114100.