Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Fung Ming berkata pegawainya merampas 766 produk ‘Ghost Candy’ dan ‘Smoke Candy’ di bandar seluruh Sabah bagi kesalahan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983.

“Amaran juga dikeluarkan kepada semua sekolah untuk mengenal pasti dan menghentikan penjualan produk-produk ini di premis mereka,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Tambah Frankie, kawalan ketat terhadap jualan gula-gula itu selari dengan siasat menyeluruh perkara itu oleh Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan produk seperti rokok itu tidak dijual dan dipasarkan kepada anak-anak sekolah.

“Perkara ini sudah kita perhatikan dan akan mengambil tindakan segera. Kita tidak akan membenarkannya,” katanya.

Dilaporkan gula-gula itu dijual di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di Sabah. - UTUSAN ONLINE