Ketua Penyelaras Pusat Sumber untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar A. Samad berkata, sasaran untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri tidak akan tercapai tanpa campur tangan kerajaan tentang apa sahaja keputusan akan diambil kelak.

“Polisi tersebut berjaya meningkatkan stok rumah mampu milik tetapi banyak pemaju melaporkan ia hanya membebankan dan menyebabkan mereka mengalami kekangan kewangan.

“Pemaju menanggung sebahagian kos pembinaan rumah mampu milik tersebut memandangkan harga tanah serta kos pembinaan sering kali lebih tinggi daripada harga jualan yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Iskandar menambah, terdapat juga dakwaan pemaju menaikkan harga rumah bukan mampu milik bagi menampung tanggungan mereka menyebabkan pembeli rumah terbabit menanggung kos tersebut dan bukannya pemaju seperti dihasratkan.

Katanya, sama ada dakwaan itu benar atau tidak, keseluruhan beban bukan semestinya diletakkan ke atas pemaju swasta semata-mata malah kerajaan perlu mewujudkan satu entiti bagi menangani masalah perumahan nasional.

“Malaysia memerlukan entiti seperti HDB (Housing Development Board) di Singapura dan sebab itu PR1MA yang serupa dengannya itu diwujudkan untuk menangani masalah perumahan nasional,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE