Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, ia merupakan jumlah yang besar dan pihaknya mengharapkan kerjasama masyarakat dalam mengurangkan penghasilan sampah di Kuala Lumpur yang merekodkan kutipan kira-kira 2,500 tan metrik sehari.

“Saya harap orang ramai sedar dan dapat membantu kerajaan dalam mencapai sasaran penjimatan sehingga RM60 juta bagi kos pengurusan sisa pepejal dan sampah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelang 2020.

“Jika kita dapat kurangkan penghasilan sampah, mungkin akan jimat RM60 juta dan dana ini dapat digunakan untuk infrastruktur dan perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kempen ‘Anti Litter - Give Your Litter A Lift Home’ di Stesen Petronas Solaris Putra, Sungai Besi di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), Datuk Mohd. Zain Hassan.

Kempen anjuran Alam Flora dengan kerjasama kementerian itu antara lain bertujuan menerapkan nilai murni dalam kalangan orang awam khususnya pengguna jalan raya terhadap pengurusan sampah yang wajar bermula dari dalam kenderaan mereka. - UTUSAN ONLINE