M. KULA SEGARAN
M. KULA SEGARAN

Selain itu, tuduhan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran yang pernah menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) menarik semula status penduduk tetap Zakir kerana didakwa membuat ucapan berbaur kebencian juga layak digelar sebagai tuduhan yang tidak berasas dan langsung tidak pernah dibuktikan.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pihaknya menggesa Ramasamy dan Kula Segaran agar memfokuskan kepada bidang tugas hakiki berdasarkan portfolio masing masing dan tidak terbabas daripada kerja dan tanggungjawab seperti diamanahkan oleh rakyat.

Menurutnya, sebagai individu yang telah mendapat status penduduk tetap, jika Zakir tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah, maka beliau tidak perlu dihantar pulang ke India walaupun atas alasan wujudnya perjanjian ekstradisi.

“Sebagai seorang yang mempunyai sifat melawan dan tidak akur dengan penegasan Perdana Menteri, Ramasamy menjelaskan bahawa kerajaan India membuat dakwaan serius terhadap Zakir yang dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, mengganggu keharmonian dan terlibat dengan perlakuan yang melanggar undang-undang.

“Ramasamy perlu membaca semula perjanjian ekstradisi tersebut. Lagipun Dr. Mahathir telah menjelaskan bahawa selagi Zakir tidak menimbulkan sebarang masalah, Malaysia tidak akan menghantar beliau pulang kerana dia ada status penduduk tetap di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk Ramasamy: Malaysia perlu hormati perjanjian ekstradisi dengan India.

Sebelum ini, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) dilaporkan memohon polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis terhadap Zakir bagi menghalangnya keluar dari Arab Saudi berikutan siasatan berhubung aktiviti keganasan di Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan olehnya.

Pendakwah popular itu meninggalkan India sejak 2016 selepas didakwa kononnya terlibat dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan di negara terbabit. - UTUSAN ONLINE