Program berkenaan dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Al-Itqaan dan Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) Parlimen Pandan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teratai dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Perasmian Iftar Perdana yang akan bermula pukul 4 petang itu akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Pengarah program, Aminuddun Mohammad dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis tersebut bertujuan untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan dan Hari Nuzul Quran dengan mengadakan program ke arah masyarakat mencintai Al-Quran.

"Antara program yang akan diadakan adalah tadarus dan tadabur Al-Quran, nasyid dan qasidah Al-Quran serta tilawah Al-Quran.

"Seterusnya, majlis berbuka puasa bersama-sama penduduk daerah Pandan tanpa mengira agama dan bangsa, kemudian solat Maghrib dan Isyak serta terawih secara berjemaah malah terdapat juga jamuan moreh," katanya. - UTUSAN ONLINE