Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, acara yang bertempat di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari yang sama.

Katanya, penglibatan pertama Prolintas dalam acara sukan berskala besar itu menyasarkan penyertaan seramai 1,500 peserta dalam kalangan atlet dan peminat sukan dari dalam dan luar negara.

“Acara melibatkan jarak 55.4 kilometer yang bermula dan tamat di Plaza Tol Bukit Jelutong itu akan menempuh laluan lebuh raya GCE sebelum kembali semula dari persimpangan Rawang,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Maklumat lanjut dan pendaftaran peserta boleh dibuat melalui laman web www.gosportz.my/all-events/gce-duathlon sehingga tarikh tutup pendaftaran pada 19 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE