Nor Hisham Ahmad Dahlan bersama dengan Kumpulan Legacy 93 selepas melakukan gimik perasmian di Majlis Perasmian Mural : The Wall of Love di persimpangan Jalan Imbi, Bukit Bintang disini, hari ini. - UTUSAN ONLINE/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Projek pertama yang dibangunkan di sebelah Park Royal Hotel, Jalan Imbi, di sini adalah hasil cetusan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Park Royal Hotel dan Milestone Trainings Sdn. Bhd. (Kumpulan Legacy 93).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Wall of Love diharap akan menjadi satu tarikan di kawasan itu dengan transformasi yang berwarna-warni kepada dinding sedia ada yang kelihatan lusuh dan usang.

"DBKL mengalu-alukan dan menyokong kerjasama pihak berkepentingan dalam usaha bersama menjaga kebersihan dan persekitaran berkualiti dan selamat sekali gus mencapai objektif dan misi DBKL untuk menjadi Bandaraya Bertaraf Dunia.

"Ini merupakan usaha yang baik dan perlu dicontohi oleh semua pemilik bangunan dan penduduk setempat dalam memastikan persekitaran yang bersih dan indah, seterusnya memberikan imej baik di mata pelancong asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Park Royal Hotel, di sini hari ini.

Menurut Nor Hisham, program-program pengindahan bandar seperti itu akan terus dilaksanakan oleh DBKL bagi memupuk semangat 'Sayangi Kuala Lumpur' dalam kalangan pemilik atau penyewa bangunan supaya bangunan masing-masing kelihatan cantik, bersih dan selamat.

"Ini seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong-pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Lukisan mural yang memaparkan mesej perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia dengan kepelbagaian agama dan budaya itu disampaikan melalui imej teh tarik, ketupat, mercun dan Menara KLCC.

Sementara imej tangan pula melambangkan persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara kaum yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan dan keamanan di negara ini. - UTUSAN ONLINE