Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, walaupun jumlah penganjuran acara terpaksa dikurangkan, kerajaan memberi jaminan setiap program yang dianjurkan itu berkualiti.


“Walaupun kita kurangkan kuantiti acara berbanding tahun lalu tetapi kita akan lebih menumpukan kualiti sesebuah program untuk mencapai yang terbaik,” katanya.


Beliau mengulas demikian selepas melancarkan kempen kibar bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019 yang akan berlangsung pada 1 Februari ini di lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, Jalan Raja Laut di sini, semalam.


Utusan Malaysia difahamkan bajet bagi program Hari Wilayah Persekutuan yang diperuntukkan pada tahun ini hanya separuh daripada jumlah yang diterima dalam bajet 2018 iaitu RM3.37 juta.


Khalid berkata, kementerian bersama DBKL akan menganjurkan program kenduri rakyat di Bandar Tun Razak di sini pada 10 Februari ini dalam usaha memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga kota. - UTUSAN ONLINE