Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, operasi itu bertujuan mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang melakukan kesalahan dengan menjalankan perniagaan tanpa lesen, menambah struktur haram dan premis diusahakan oleh warga asing.

Katanya, daripada keseluruhan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 14 premis telah diambil tindakan.

“Tujuh premis diarah tutup kerana beroperasi tanpa lesen serta melanggar syarat lesen (menggajikan pekerja warga asing) di bawah Akta Undang-Undang Kecil (UUK): UUK 62 (1) (b) Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007.

“Daripada jumlah ini, lima premis merupakan kedai makan manakala dua premis lagi adalah kedai runcit,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.

Mohd. Zulkurnain berkata, bagi kesalahan tambahan bangunan yang didirikan tanpa kebenaran pula, pihaknya menyerahkan 10 Notis Mengosong Dan Meruntuhkan Bangunan kepada enam premis makanan, tiga premis kedai runcit dan satu premis kedai gunting rambut.

“Sehubungan itu, pemilik premis diberi tempoh 30 hari untuk mengambil tindakan mengosongkan bangunan tersebut, memindahkan apa-apa harta alih yang terdapat di dalam bangunan atau meruntuhkan bahagian tersebut.

“Di bawah klausa tersebut sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan selepas tamat tempoh yang dinyatakan, MPSJ akan mengambil tindakan me­runtuh menurut Seksyen 72 (6), Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan (1974) yang mana kos tersebut perlu ditanggung oleh pemilik premis berkenaan,” katanya.

Dalam operasi itu juga, pihaknya turut mengeluarkan lima Notis Amaran kepada penjaja di tepi Jalan 5/6 Serdang Jaya di bawah Seksyen 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan kerana kesalahan menyelenggara gerai di tempat awam tanpa kebenaran.

Operasi dilaksanakan dengan kekuatan seramai 30 orang anggota penguat kuasa MPSJ.