Perdana Menteri berkata, martabat wanita wajar diangkat tinggi kerana mereka adalah tonggak kepada pembangunan negara ini.

“Dan kita akan pinda Perlembagaan, insya-Allah Dewan Senat 30 peratus minimum (milik) wanita,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Ratu Hati Negaraku, di sini hari ini.

Perdana Menteri membuat kejutan apabila hadir ke Himpunan Ratu Hati Negaraku anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib menambah, wanita kini bukan sahaja memainkan peranan sebagai isteri atau ibu, sebaliknya peranan mereka perlu diperluas terutama dalam bidang membuat keputusan.

“Kita tambah lagi peluang wanita naik pangkat, kita akan tambah lebih banyak peluang jadi usahawan.

“Kita juga akan pastikan martabat wanita akan terus diperjuangkan oleh BN,” katanya. - UTUSAN ONLINE