Tinjauan Utusan Malaysia di­ sekitar Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur atau dikenali Pudu Sentral yang menempatkan dua buah jejantas mendapati kemudahan menghubungkan ke pusat khidmat setempat agensi kerajaan itu seperti tidak wujud.

Di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu, orang ramai sanggup memperjudikan nyawa melintas kesesakan jalan raya tanpa menggunakan jejantas walaupun sedar risiko yang bakal dihadapi mereka.

Bahkan ada di antara mereka yang sanggup mengheret anak-anak dan warga emas meredah kesibukan trafik tanpa mengira waktu.

Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ke­sesakan menjadi semakin teruk terutama pada waktu puncak.

Pelbagai alasan dibe­rikan mereka untuk membenarkan sikap pemalas itu malah ada yang tanpa segan silu sanggup menghentikan kende­raan untuk melintas dengan sesuka hati.

Antara alasan yang biasa diberikan adalah tidak larat untuk memanjat tangga, jejantas terlalu jauh dan tidak menghubungkan laluan yang dituju.

Lebih mengecewakan apabila sikap warga tempatan itu mula ‘dicontohi’ pekerja warga asing di negara ini. Sedar atau tidak, keadaan ini pasti mencemar imej negara di mata pelancong.

Bahkan tanda larangan me­lintas termasuk pemasangan penghadang di tengah-tengah pembahagi jalan raya oleh pihak berkuasa tempatan masih tidak berjaya mengekang kedegilan warga kota untuk menggunakan jejantas.

Pemandangan yang sa­ma turut dilihat di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhadapan dengan Jalan Pe­taling yang menjadi tarikan utama pelancong di ibu kota.

Lebih memburukkan kea­daan, jejantas yang disediakan sebagai kemudahan awam itu turut dijadikan ‘rumah’ bagi golongan gelandangan.

Mahu atau tidak, keadaan itu turut menyebabkan orang ramai keberatan menggunakan jejantas.

Sehubungan itu, orang ramai berharap pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam penguatkuasaan undang-undang menggunakan jejantas terutama di kawasan sesak.