Pengerusi Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, program itu merupakan satu pendekatan praktikal di mana penduduk bandar menanam sendiri sayur-sayuran atau tanaman makanan di sekitar kediaman mereka.

“Program ini sangat memberi kebaikan kepada masyarakat kerana dapat menjalinkan hubungan sosial dan memperkukuhkan persaudaraan menerusi projek bercucuk tanam.

“Ini sekali gus membantu dalam memperkasakan ekonomi mereka, menjimatkan perbelanjaan isi rumah dan mengindahkan kawasan persekitaran,” katanya ketika berucap melancarkan program Pertanian Bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, di sini hari ini.

Pada program itu, pelbagai jenis pokok tanam-tanaman seperti limau kasturi, cili dan sawi diagihkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka untuk diusahakan di kawasan persekitaran dan kediaman mereka.

Yang hadir sama Pengarah Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian, Azmi Daud; Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Myprihatin, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Cempaka, Kamaruddin Abd. Hamid. - UTUSAN ONLINE