MDHS dalam kenyataannya berkata, penganjuran itu merupakan julung kali diadakan dan akan dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

"Program ini bertujuan untuk memastikan kesemua premis memahami kepentingan mengekalkan kebersihan tandas masing-masing agar kekal bersih dan selesa.

"Ini juga akan meletakkan Hulu Selangor sebagai sebuah daerah yang bersih dan secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelancong luar untuk berkunjung ke kawasan ini," katanya di sini hari ini.

MHDS berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua premis dan sebanyak lima kategori dipertandingkan antaranya kategori stesen minyak, jabatan kerajaan, pusat ibadah, sekolah dan premis makanan.

"Tempoh akhir penghantaran borang penyertaan adalah pada 31 Mei. Proses penilaian akan dilakukan oleh urusetia dari setiap jabatan teknikal MDHS dan akan dinilai pada Ogos berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

"Pemenang setiap kategori berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan sijil penyertaan bernilai RM500 bagi tempat pertama diikuti RM300 dan RM200 untuk tempat kedua dan ketiga manakala hadiah saguhati bernilai RM100 juga akan diberikan kepada yang menyertai pertandingan tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS di talian 03-6064 1050. - UTUSAN ONLINE