Ketua Pegawai Eksekutif PFSB, Haslinda Khalid berkata, program tersebut yang diadakan sempena Bazar Warisan Merdeka akan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM5,500.

Beliau berkata, yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM30 seorang dan pendaftaran boleh dibuat di Taman Warisan Pertanian di sini pada setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang.

"Pemenang pertama pertandingan ini akan menerima wang tunai RM2,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 dan RM500.

"Selain itu, kita turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah lain yang bernilai RM2,000," katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan 250 kilogram (kg) ikan patin dan pacu ke dalam kolam tersebut baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Menawar Resources Sdn. Bhd., Abdul Wahab Khalid.

Haslinda berkata, peserta yang mendaftar akan disediakan joran buluh, tali mata kail dan umpan palet.

Beliau berkata, biar pun pertandingan itu berkonsepkan pancing, timbang dan lepas, ikan yang ditangkap boleh dibawa pulang jika beratnya melebihi dua kg.

Dalam pada itu, katanya, pelbagai aktiviti menarik lain juga bakal menanti pengunjung sempena penganjuran bazar tersebut bermula semalam hingga Ahad ini.

Beliau berkata, antaranya pesta jualan pelbagai jenis buah durian, pokok buah dan herba, pokok bunga, tanah dan kompos, produk usahawan kecil dan sederhana serta lain-lain.

Haslinda berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian telefon 03-88882722 pada waktu pejabat atau emel ke [email protected] atau melayari laman sosial http://facebook.com/tamanwarisanpertanian. - UTUSAN ONLINE