Pegawai khas Ahli Parlimen Setiawangsa, Azhar Md. Kasim berkata, acara tahunan bermula pada pukul 8 pagi itu akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

“Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara satu sama lain selain platform untuk pemimpin turun padang bertemu dengan masyarakat.

“Pertandingan dibuka kepada orang ramai dengan sasaran seramai 250 peserta. Pendaftaran masih dibuka dan mereka yang berminat boleh mendaftar di kaunter pendaftaran di tapak acara sehingga Ahad ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Azhar, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 beserta satu set joran dan mesinnya manakala naib juara dan ketiga pula masing-masing RM1,000 dan RM500 beserta satu set joran dan mesin.

“Sementara bagi tempat keempat hingga ketujuh adalah RM100 manakala kelapan hingga 15 (RM50). Selain itu, sebanyak 40 hadiah saguhati berupa barangan elektrik turut ditawarkan kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 kilogram ikan patin, keli dan pacu dilepaskan di tasik berkenaan untuk dipancing oleh peserta.

Pertandingan memancing yang masuk tahun kelima itu merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 Parlimen Setiawangsa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiawangsa. - UTUSAN ONLINE