Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamad Zamri Mohamed berkata, perubahan lokasi bazar ke Jalan TAR bermula dari persimpangan Jalan Esfahan ke Jalan Tun Perak itu adalah berita yang menggembirakan peniaga.

“Lokasi asal ‘Bazar Ramadan Jalan TAR’ yang sebelum ini berpusat di Jalan Masjid India agak sempit. Pemilihan Jalan TAR sebagai lokasi baharu sememangnya langkah yang lebih bersesuaian.

“Selain kawasan yang lebih luas, terdapat banyak akses dan laluan yang membolehkan pengunjung keluar masuk dari pelbagai arah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad Selasa lalu mengenai perpindahan lokasi bazar Ramadan ke Jalan TAR yang akan dikenali sebagai ‘Pedestrian Mall’.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan cadangan DBKL yang mahu permohonan tapak bazar berkenaan dikemukakan secara dalam talian kerana akan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada peniaga.

“Saya tidak tahu sejauh mana keberkesanan sistem berkenaan tetapi saya difahamkan kira-kira 500 tapak disediakan tetapi permohonan yang diterima sudah melebihi 4,000.

“Untuk kemudahan golongan peniaga, saya rasa elok dikekalkan permohonan manual dan cabutan undi supaya nampak lebih telus,’’ katanya.

Mengulas lanjut mengenai keistimewaan bazar Ramadan itu, beliau berkata, bazar Ramadan di kawasan itu sudah terlalu sinonim dengan rakyat negara ini sebagai lokasi tumpuan utama setiap kali musim perayaan dan wajar dikekalkan.

“Ia memainkan peranan tersendiri dalam sektor pelancongan negara kerana bukan sahaja mampu menarik kedatangan pengunjung tempatan malah menjadi antara lokasi menarik dikunjungi pelancong luar.

“Selain itu, ia sedikit sebanyak mampu memberikan pendedahan kepada pelancong asing mengenai budaya, warisan, sejarah, adat resam, makanan dan juga gaya hidup penduduk tempatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE