Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo berkata, program bersempena sambutan Hari Kemerdekaan itu turut mempamerkan tujuh ukiran patung Bison sebagai lambang perpaduan hasil ciptaan pengukir terkenal dari India, Infantino Fernandes.

Katanya, antara aktiviti tersebut ialah persembahan tarian budaya, bengkel silat, upacara menaikkan bendera serta permainan tradisional seperti congkak, sepak raga dan batu seremban.

“Program ini bertujuan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat selain meraikan warisan budaya yang kaya di negara ini.

“Kami juga menawarkan hadiah misteri kepada pengunjung kanak-kanak yang lahir pada 31 Ogos sewaktu membeli tiket,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen tersebut di sini hari ini.

Selain itu katanya, kempen itu turut menyediakan gerai makanan untuk pengunjung yang boleh ditebus melalui permainan kad bingo.

Mengulas mengenai pameran ukiran patung Bison pula, beliau berkata, orang ramai sangat teruja untuk melihat arca tersebut yang membawa mesej bermakna untuk dikongsi bersama.

“Walaupun tujuh arca ini mempunyai perbezaan dalam bentuk saiz dan pandangan, mereka bersatu bagaikan satu dan ia sesuai dikaitkan dengan Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya,” katanya.

Sean Choo berkata, pihaknya menawarkan diskaun harga tiket sebanyak RM61 daripada harga asal untuk pembelian secara dalam talian dari tarikh 17 Ogos hingga 16 September ini.

Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman web www.sunwaylagoon.com atau menghubungi talian 603 5639 0000.- UTUSAN ONLINE