Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan tersebut, ba­ginda menyampaikan harapan agar hubungan Malaysia dan Jordan dapat diperkukuhkan lagi melalui pertemuan dua hala.

“Kami juga bertukar-tukar pendapat mengenai tindakan unila­teral Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu kota Israel dan Raja Abdullah te­lah menyuarakan kebimbangannya mengenai isu tersebut.

“Raja Abdullah turut menegaskan bahawa umat Islam perlu bijak dalam menangani isu ini memandangkan ia boleh disalah tafsir oleh masyarakat antarabangsa dan memburukkan imej umat Islam,” katanya menerusi blog www.najibrazak.com di sini hari ini.

Najib berkata, Raja Abdullah juga berpendapat bahawa umat Islam sepatutnya sentiasa mencerminkan keinginan untuk mencapai keamanan, kedamaian­ dan penyelesaian melalui run­dingan agar umat Islam tidak dikaitkan ataupun disalah tafsir­ sebagai kumpulan ekstrem atau kumpulan menggunakan kekerasan.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, baginda mengharapkan kebijaksanaan dalam menangani isu ini supaya pada akhirnya umat Islam akan mencapai apa yang dihasratkan oleh mereka.

“Semoga Allah SWT melin­dungi dan memberkati kita umat Islam, menggagalkan cadangan­ mereka mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mereka yang menghina dan menekan kita umat Islam,” katanya.