Timbalan Menteri Dalam Ne­geri Datuk Azis Jamman berkata, inisiatif tersebut wajar dilaksa­nakan bagi mengimbangi sektor-sektor tertentu antaranya industri pasar borong yang dipercayai rancak dimonopoli oleh mereka.

Beliau menjelaskan, polisi itu juga akan bertindak sebagai pemudah cara kepada para majikan untuk mengambil pekerja asing yang sah memandangkan prosedur sebelum ini didakwa penuh dengan kerenah birokrasi.

“Setakat ini, kita bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk rangka satu polisi baharu yang mesra kepada rakyat.

“Ini bagi mengambil kira kekangan-kekangan yang ada dan akan diumum tidak lama lagi untuk kita mengatasi masalah pekerja asing di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas turut serta dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lambakan warga asing di pasar-pasar borong utama meskipun pelbagai usaha pembanterasan digerakkan pihak berkuasa.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Sebelum ini, Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia menerusi laporan khas bersirinya mendedahkan golongan terbabit bukan sahaja menjadi pekerja malah ada dalam kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan yang meng­alibabakan tapak dan lesen perniagaan masing-masing.