Pakar ekonominya, Howie Lee berkata, hubungan perdagangan China-AS kelihatan semakin tegang dan permintaan China terhadap barangan di rantau ini mungkin merosot berikutan keadaan tidak menentu.

“Negara seperti Korea Selatan dan Taiwan, yang kebiasaannya menjadi petunjuk kekuatan perdagangan global, juga dijangka mencatatkan tekanan dalam permintaan eksport.

“Perang perdagangan AS-China pada asasnya adalah pertempuran bagi keunggulan teknologi; apabila perlumbaan teknologi menjadi semakin sengit, ASEAN perlu memikirkan semula pendekatannya terhadap buruh dan produktiviti,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Lee berkata perang perdagangan AS-China bukanlah tentang percubaan Presiden Donald Trump untuk membetulkan defisit perdagangan AS dengan China, kerana jika begitu, rundingan perdagangan akan tertumpu kepada menuntut berapa banyak China perlu membeli daripada AS setiap tahun.

Menurutnya, China telahpun bersetuju pada dasarnya untuk mengurangkan beransur-ansur defisit perdagangan tahunan kepada sifar menjelang 2024.

Sepanjang perbincangan itu, beliau berkata konvoi AS menuntut China agar membuat pembaharuan dalam undang-undang harta inteleknya (IP) yang dianggapnya sebagai “pindahan teknologi dipaksa’ - kerana kebuntuan itu menyediakan asas bagi penyambungan semula tarif balas balik.

“Dengan dua kuasa utama global itu memberi penekanan kepada keunggulan teknologi, barangkali sudah sampai masanya bagi ASEAN untuk memikirkan semula pendekatan jangka panjangnya ke arah bidang teknologi. Kebergantungan rantau ini kepada buruh sebagai hab pembuatan akan menjadi tidak cekap dengan perkembangan pesat evolusi teknologi.

“Di rantau ini, China menerajui dalam kemajuan teknologi; menjadi tanggungjawab ASEAN sekarang untuk bergerak seiring dengan revolusi teknologi,” katanya. - BERNAMA