Mangsa, Nazrin Nizal berumur 26 tahun yang menetap di Apartmen Suria, Jalan PJU 10/4C Damansara Damai, Petaling Jaya disahkan maut oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian akibat pelanggaran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan membabitkan kemalangan tersebut yang didakwa melibatkan tiga buah kenderaan pada pukul 2.25 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dilaluan kanan arah yang sama.

“Akibat daripada pergeselan itu juga, mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya lalu berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Nissan Grand Livina yang berada di laluan kiri dihaluan yang sama ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd. Zani memberitahu, akibat pelanggaran itu, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik di Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

“Proses bedah siasat sedang dilakukan bagi mengetahui punca kematian dan pihak polis telah memanggil waris mangsa untuk dikenal pasti mayatnya,” ujarnya.

Tambah Mohd. Zani, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE