Tertuduh, Fauziah Hussain, 40, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan, tertuduh didakwa telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu cek CIMB Islamic milik MEQ Million yang mempunyai tandatangan milik rakannya Faizatul Hasanah Hussain, 39, yang diketahui sebagai dokumen palsu.

Kesemua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di Syarikat MEQ Million Sdn. Bhd., No. 6C, Pusat Komersial, Ara Ampang dekat sini antara 27 April hingga 28 Jun tahun lalu.

Kesemua pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 468 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. - UTUSAN ONLINE