Penduduk mendakwa sudah bosan dengan alasan diberi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung masalah itu.

Aduan dikemukakan, ‘bagai mencurah air ke daun keladi’ selepas tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa tempatan itu (PBT) sehingga hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di perumahan 17 tingkat itu baru-baru ini mendapati, penduduk beratur me­nunggu giliran menaiki lif berikutan hanya sebuah daripada dua lif berfungsi.

Penduduk mendakwa, kerosakan lif di kesemua enam blok perumahan di situ kerap berlaku sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Wakil penduduk, Jalil Ismail berkata, masalah lif rosak sudah menjadi perkara biasa dan tidak pernah selesai sehingga penduduk penat untuk membuat aduan kepada DBKL.

Difahamkan, lif tersebut tidak pernah ditukar sejak 37 tahun yang lalu menyebabkan ia mudah rosak.

“Kontraktor ada melaksanakan kerja-kerja selenggara, tetapi kurang daripada tiga jam dibaiki, lif rosak semula.

“Lif di perumahan ini wajar ditukar baharu kerana sudah uzur dan digunakan kira-kira 8,000 penduduk setiap hari,”katanya.

Katanya, masalah lif yang dihadapi penduduk seperti tiada jalan penyelesaian.

“Saya harap pihak DBKL menyelesaikan masalah yang mungkin dipandang remeh, tetapi sangat bererti buat kami. Pantau selalu lif yang sudah dibaik pulih.

“Setiap kali lif rosak, penduduk terpaksa menggunakan tangga dan itu membawa masalah kepada warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya,” katanya.